Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
Kami bersyukur kehadrad Ilahi kerana memberikan kekuatan dan rezeki juga kesedaran dan keinsafan terhadap nasib dan masa depan bangsa kami - orang Melayu dan agama Islam di Malaysia. Pada kami orang Melayu sedang menghadapi masalah besar yang akan meminggirkan mereka secara tersusun di tanah air sendiri. Inilah faktor yang mendorong kami membina blog ini untuk berbincang dengan para aktivis pelbagai parti, juga tokoh-tokoh pertubuhan dan orang perseorangan yang peduli terhadap nasib dan masa depan bangsa dan agama Islam di negara ini. Dialog ini merupakan langkah awal untuk menyatukan orang-orang Melayu di bawah satu payung dan wadah perjuangan asal orang Melayu iaitu PEKEMBAR.
Oleh kerana penduduk negara ini terdiri dari pelbagai kaum, agama dan bahasa maka terdapat beberapa isu sensitif yang memerlukan penerangan dan pemahaman yang jelas serta mendalam dari segi sejarah dan disiplin keilmuan khususnya sains politik, ekonomi dan sosiologi. Inilah matlamat dialog - pendidikan politik. Bagi mencapai kemajuan negara seluruhnya, kaum Melayu perlu dimajukan dengan adil dan saksama. Tetapi itu bukanlah perkara yang mudah. Justeru DIALOG PKR-PAS-UMNO akan membawa anda berfikir secara lateral dan rasional di luar kepompong dan batas kepartaian, ideologi dan kepentingan sempit berkumpulan (kroni).
Dalam hal kepentingan Melayu dan agama Islam, semua pihak perlu bekerjasama secara ikhlas dan jujur. Kepentingan Melayu dan agama Islam jauh lebih penting dan utama dari kepentingan pertubuhan (parti) dan ideologi terutama dalam bidang pendidikan, bahasa, ekonomi dan keusahawanan. Kita perlu bersepakat, perlu sentiasa membuat kajian tentang isu-isu penting terutama yang berkaitan dengan soal pendidikan, sosial dan ekonomi supaya negara tidak menjadi huru-hara akibat permainan segelintir politikus songsang yang gila kuasa. Pemimpin Melayu perlu tahu di mana garis pemisah antara tuntutan yang sah dan wajar dengan ugutan yang melampau dan penuh emosi.
Melayu boleh bersatu jika mereka kembali berjuang atas landasan 'FISSABILILLAH', ikhlas demi agama, bangsa dan negara. Justeru segeralah ketepikan kepentingan kelompok dan peribadi, mari bersama kita jadikan tema: "Satu Bangsa, Satu Negara dan Satu Matlamat" sebagai asas dan teras perjuangan yang baru.
Moderator